Sistem Akaun Masjid: Motif Keuntungan?

Antara masjid yang menelan kos ratusan ribu ringgit!
Bagi yang beragama Islam, pasti pernah pergi ke Masjid atau surau sekitar taman perumahan. Jika anda seorang lelaki, sudah pasti sekali seminggu, anda akan datang ke Masjid untuk solat Jumaat. Tiap kali ke sana, pasti, paling sikit RM1.00 akan didermakan dalam tabung. 


Ya, umpama menjadi tradisi dan budaya masyarakat negara kita. Sebut sahaja pasal derma, kepala kita terbayangkan masjid. Asal perkara kebajikan sahaja, masjidlah tempatnya. Bagus. Ini petanda, masjid adalah suatu tempat yang sinonim dalam kalangan masyarakat negara. Namun persoalannya, setelah saban hari pengunjung tak lekang, aliran wang masuk tanpa henti, siapakah yang memastikan wang tersalur pada tempat yang betul?


Saya pernah mendatangi satu surau dan terperanjat. Kutipan bulanan surau tersebut, (hanya bagi sesi solat Jumaat) mencecah RM40,000! Banyak bukan? Itu belum di kawasan elit yang sudah pasti mencecah ratusan ribu. Tak puas hati, pantas saya semak penyata kewangan surau yang dipamerkan di papan kenyataan. Wow! Ratus ribu yang masuk. Bagus, penduduk gemar menderma. Saya bangga.


Derma itu mulia

Kemudian, selesai solat, bangkitlah tuan bilal, membuat pengumuman kutipan derma untuk membeli pendingin hawa, bagi keselesaan jemaah. Saya tersentak! Derma? Mengapa perlu kutipan derma lagi, andai dalam akaun sudah ratusan ribu?! 


Pantas saya sedar. Kita kekurangan badan-badan yang memantau, sejauh mana dan ke mana wang derma dibelanjakan. Kadang-kadang, sikap sesetengah AJK Bendahari sendiri, yang mementingkan "baki wang bawa ke hadapan" dalam penyata kewangan Masjid. Salah siapa?


Seharusnya, institusi berteraskan masyarakat tidak mengguna pakai sistem perakaunan lagak peniaga. Ini kerana, sistem itu memang sah-sah direka untuk mereka yang berniaga. Bagi yang berniaga, yang penting adalah wang untung. Penting untuk pastikan baki bawa ke hadapan tinggi.


Tempat jatuh lagi dikenang
Habis, sistem apa yang perlu diguna oleh institusi Masjid? Sistem ini telah diwujudkan oleh pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia, (jika tak silap saya). Dimana, ia menjadikan laporan prestasi Masjid, berdasarkan jumlah wang yang dibelanjakan untuk kebajikan masyarakat, tak kiralah membeli pendingin hawa, bayar saguhati penceramah, bantuan fakir miskin dan sebagainya.



Saya kira, jika sistem ini digunapakai secara meluas oleh semua institusi Masjid, terutamanya yang berobjektifkan kebajikan seperti NGO, maka kita akan dapat lihat, impak pengurusan dan aliran keluar wang derma lebih proaktif. Manakan tidak, laporan sudah berubah. Kini mereka bukan lagi dinilai dengan berapa wang terkumpul bawa ke tahun hadapan, tapi berapa wang digunapakai tahun tersebut untuk kebajikan.



Walaubagaimanapun, ini hanyalah pandangan peribadi saya. Sistem akaun itu hanya sebuah alat. Ada juga masjid yang pakai sistem akaun sedia ada, tapi mampu membelanjakan wang amanah sebaiknya. Namun saya rasa, perkara baik, seharusnya di implement untuk prestasi yang lebih cemerlang dan terbilang!

Comments

Popular Posts